Semasa

Subsidi Diesel: simpan resit jika belum terima ‘fleet card’ – KPDN

Syarikat pengangkutan yang memperoleh kelulusan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) perlu menyimpan resit pembelian diesel untuk tuntutan pembayaran balik tunai, jika belum menerima ‘fleet card’ daripada syarikat minyak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata ia bagi membolehkan tuntutan pembayaran balik tunai dibuat kepada Kementerian Kewangan susulan pelarasan semula mekanisme pemberian subsidi Diesel yang berkuat kuasa mulai tengah malam tadi.

“Selaras dengan pengumuman Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menguatkuasakan harga baharu diesel pada kadar RM3.35 seliter di stesen minyak Semenanjung Malaysia mulai 10 Jun 2024, pukul 2.00 tengah malam.

“Sejumlah 33 jenis kenderaan pengangkutan awam dan barangan akan terus menikmati diesel bersubsidi melalui penggunaan ‘fleet card’ di bawah SKDS,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Armizan sementara itu berkata semua arahan dan peraturan sedia ada berkaitan dengan penjualan diesel masih berkuat kuasa dan terpakai dengan pengumuman harga baharu diesel.

Beliau turut menyeru syarikat pengangkutan yang layak tetapi masih belum memohon kelulusan subsidi diesel untuk segera berbuat demikian di https://mysubsidi.kpdn.gov.my dan seterusnya memohon ‘fleet card’ daripada syarikat minyak pilihan.

BACA LAGI: Pemilik kenderaan diesel tujuan komersial diseru segera mohon ‘fleet card’

Penetapan harga dan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar dijangka akan memberikan penjimatan sebanyak RM4 bilion setahun di samping mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang.

Penjimatan yang terhasil akan digunakan untuk dilaburkan kepada infrastruktur awam dan bantuan sosial rakyat

Related Articles

Back to top button