Negeri

Aminudin pelawa syarikat New Zealand teroka usaha sama dengan Negeri Sembilan

Syarikat berpengkalan di New Zealand dipelawa meneroka usaha sama dengan kerajaan Negeri Sembilan terutama dalam sektor industri halal yang sedang berkembang pesat .

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, selain industri halal, pentadbirannya juga menawarkan kelebihan strategik kepada pelabur asing merentas pelbagai industri di negeri itu termasuk farmaseutikal, teknologi makanan, pertanian dan sektor teknologi tinggi.

“Saya ingin menekankan kepada semua pihak bahawa lokasi strategik Negeri Sembilan merupakan faktor utama dalam menarik pelabur asing untuk mewujudkan industri, sekali gus merangsang pembangunan ekonomi,” katanya melalui satu hantaran di laman Facebooknya.

Ia sebagai mengulas sesi jaringan anjuran Invest Negeri Sembilan dengan kerjasama Persatuan Perniagaan New Zealand Malaysia (NZMBA) dan Majlis Perniagaan Asean New Zealand (ANZBC) di Auckland baru-baru ini.

Delegasi Aminuddin termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Mohd Zafir Ibrahim, Datuk Bandar Seremban Datuk Masri Razali dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest NS Datuk Najmuddin Sharif Sarimon.

Kehadiran beliau ke sesi tersebut sebagai komitmen Negeri Sembilan untuk memupuk hubungan perniagaan antarabangsa dan meneroka jalan baharu untuk pelaburan.

BACA LAGI: Pelaburan Google kukuhkan kedudukan Selangor sebagai pusat ekonomi negara

Sementara itu jelas Aminuddin, syarikat multinasional dari Jepun, Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Belanda telah mewujudkan operasi masing-masing di Negeri Sembilan.

“Ini membuktikan keyakinan mereka terhadap keupayaan kerajaan negeri untuk menyediakan persekitaran perniagaan dan pelaburan yang kondusif,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button