Semasa

Komuniti MADANI main peranan penting sampaikan maklumat antara kerajaan, rakyat

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mahu hubungan erat antara Komuniti MADANI dengan agensi seperti Jabatan Penerangan terus dikekalkan.

Ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sembang Santai Komuniti MADANI di Putatan pada Isnin beliau berkata, komuniti itu memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat mengenai dasar kerajaan kepada rakyat sekaligus menyalurkan kembali maklumat balas rakyat di peringkat akar umbi kepada kerajaan.

“Harapan saya hubungan erat rakan Komuniti MADANI dan Jabatan Penerangan juga kementerian (Komunikasi) dapat wujudkan sinergi yang baikā€¦ rakan Komuniti MADANI bantu sampaikan maklumat ke akar umbi, juga salurkan masalah dihadapi di akar umbi hingga sampai ke pejabat saya.

“Ini kita harap ada komunikasi dua hala yang lebih cergas, lebih baik dan lebih bermanfaat,” katanya.

Beliau yang juga merupakan jurucakap kerajaan sementara itu menegaskan, beliau akan mendengar isu dan permasalahan berbangkit yang dibawa seterusnya membawa isu terbabit kepada pengetahuan pihak berkaitan dalam Kerajaan MADANI bagi tindakan segera.

Terdahulu, ketika berucap dalam program berasingan iaitu Majlis Apresiasi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Komunikasi untuk Zon Sabah dan Labuan di Penampang, Fahmi meminta Jabatan Penerangan supaya proaktif memberi penjelasan kepada rakyat mengenai dasar kerajaan termasuk isu penyasaran subsidi.

BACA LAGI: Komuniti media MADANI pastikan maklumat benar terkait kerajaan disebar kepada rakyat

Beliau berkata ini penting untuk memastikan maklumat tepat berkaitan setiap langkah yang diambil kerajaan dapat disampaikan secara jelas kepada masyarakat, sekali gus mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mencipta persepsi tidak betul.

“Penjimatan diperoleh melalui penyasaran semula subsidi disalurkan terus kepada rakyat melalui lebih banyak inisiatif yang akan dilaksanakan, sekali gus menambah pendapatan rakyat dan mengelakkan subsidi jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Related Articles

Back to top button