Semasa

Chatbot kekang berita palsu kini di proses akhir pembangunan – Fahmi Fadzil

Pembangunan kemudahan chatbot dalam aplikasi WhatsApp bagi mengekang penularan berita palsu kini dalam proses akhir.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Meta Platforms Inc (Meta) dalam masa terdekat mengenai perkara itu.

“Waktu ini ada beberapa isu teknikal sedang diteliti. Kita juga sedang berusaha pastikan aplikasi berkenaan dapat menjawab isu-isu dibangkitkan terutama dalam pelbagai bahasa seperti bahasa Melayu, Inggeris dan sebagainya.

“Pada ketika kita rasmikan nanti, mungkin akan ada beberapa bahasa utama, tapi kita akan kembangkan (bahasa lain) sebab ia berteraskan AI (kecerdasan buatan),” katanya.

Fahmi memaklumkan perkembangan itu kepada media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi bagi bulan Jun 2024 di Putrajaya pada Selasa.

Kemudahan WhatsApp Chatbot diwujudkan susulan banyak mesej-mesej tidak benar, fitnah disebarkan menerusi aplikasi Whatapp.

Ia dibangunkan melalui kerjasama Kementerian Komunikasi dan Meta Platforms Inc (Meta).

BACA LAGI: Jangan salah guna media sosial untuk sebar berita palsu

Terdahulu pada ucapan di perhimpunan itu Fahmi menyeru warga Kementerian Komunikasi untuk menjadi barisan paling hadapan melawan fitnah yang tersebar dalam media sosial termasuk WhatsApp, bagi memastikan komunikasi yang tepat sampai kepada rakyat.

“Saya berharap sehingga aplikasi itu kita rasmikan, kita juga memainkan peranan untuk meneliti apa yang disampaikan dalam WhatAspp, media sosial, sekiranya sebarang maklumat itu tidak tepat, maka kita perlu betulkan dengan baik dan tertib dengan menyampaikan fakta.

“Pasukan di kementerian ini perlu menjadi barisan paling hadapan untuk menentang dan melawan fitnah,” katanya dipetik.

Related Articles

Back to top button