ekonomiSemasa

Negara tidak akan maju jika terikat ruang selesa – PM Anwar

Kerajaan komited untuk terus meningkatkan indikator kesediaan perniagaan (B-Ready) Bank Dunia tegas Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2024 di Kuala Lumpur malam tadi berkata, beberapa pendekatan serta kaedah baharu diperkenalkan bagi tujuan itu.

Selain itu menurutnya, sinergi antara industri dengan program Dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga diperkukuh dengan industri diberi kepercayaan dalam menetapkan jenis latihan diperlukan.

“Ini antara usaha sedang diketengahkan dan komitmen amat diperlukan untuk ubah suai mana yang perlu. Negara tidak akan maju sekiranya terikat dengan ruang selesa dan mudah merasa baik dengan setiap kejayaan.

“TVET hari ini tidak lagi formal seperti dulu dan jika mana-mana industri mahu mengambil alih satu atau dua program TVET, sila berbuat demikian.

“Petronas, Proton-Geely sebagai contoh. Ini menjadikan sinergi antara industri dan program TVET lebih erat,” katanya.

AKI 2024 menyaksikan penyertaan lebih 130 syarikat dengan 13 kategori dipertandingkan antaranya sektor pembuatan, perkhidmatan dan syarikat paling berpotensi.

Objektifnya untuk menggalakkan kecemerlangan serta mewujudkan persaingan sihat dan positif dalam industri.

BACA LAGI: PM Anwar umum RM200 juta sebagai pembiayaan tambahan program TVET

Dalam masa sama, Anwar menekankan anugerah AKI adalah satu bentuk galakan kepada industri tempatan selain kerajaan berusaha untuk mencari pelaburan asing.

“Kerajaan tidak pernah melepaskan tanggungjawab untuk ruang dan penekanan, pengiktirafan serta insentif dengan rangkaian industri tempatan.

“Ini penting kerana sementara menunggu pelaburan asing yang sedang berkembang baik dengan perdagangan baik, (menjadi) tanggungjawab kerajaan bina kekuatan dalaman, membina industri tempatan sama ada berkaitan dengan sinergi industri luar atau tidak,” katanya.

Related Articles

Back to top button