Semasa

RUU Perubahan Iklim bakal dibentang tahun depan – Nik Nazmi

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bakal membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim ke Parlimen tahun depan.

Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, RUU itu bertujuan ‘mengawal’ pencemaran termasuk melibatkan syarikat-syarikat besar selari komitmen dibuat menerusi Perjanjian Paris 2015.

“Setakat ini komitmen dalam perjanjian itu dalam bentuk aspirasi atau dasar yang abstrak sahaja dan jika adanya akta ini, kita ada kuasa perundangan.

“Kita berhasrat bawa ke Parlimen tahun hadapan bergantung kepada maklum balas dari kamar Peguam Negara…sekarang kita sudah memulakan sesi libat urus fasa pertama,” katanya.

Nik Nazmi berkata begitu kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Iklim dan Inisiatif Sasaran Asas Sains (SBTi) 2024, di Kuala Lumpur pada Selasa.

Mengulas lanjut Ahli Parlimen Setiawangsa itu memaklumkan, fasa terkini adalah membabitkan sesi libat urus bersama panel perunding dan penasihat perubahan iklim membabitkan syarikat korporat dan badan bukan kerajaan (NGO).

BACA LAGI: NRES pertimbang undang-undang khusus tangani pembuangan, pencemaran plastik

“Ia bukan proses sekelip mata…sebelum ini pada 2022, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (bekas Menteri Alam Sekitar) kata RUU itu akan dibentang tahun hadapan (2023) namun sebenarnya draf RUU itu belum ada.

“Jadi kita mulakan dari peringkat pertama sesi libat urus dan hantar ke Peguam Negara sebelum dibawa ke Kabinet,” katanya.

Related Articles

Back to top button