Subsidi diesel: Muhyiddin digesa henti sikap hipokrit
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dibidas susulan kenyataannya yang mengkritik keputusan kerajaan melaksana penyasaran semula subsidi berkaitan diesel.
Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN, Chua Wei Kiat meminta Presiden Parti Bersatu Malaysia (Bersatu) itu tidak bersikap hipokrit apabila seolah-olah lupa kepada kenyataannya berkaitan subsidi bersasar.
“Ironinya Presiden Parti Bersatu Malaysia (Bersatu) itu semasa memegang jawatan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) pada tahun 2022 pernah mencadangkan Skim Subsidi Bersasar sebagai langkah kerajaan untuk menjimatkan RM20 bilion setahun.
“Pada waktu itu, Muhyiddin berkata hanya golongan sasar iaitu mereka dalam kumpulan B40 dan B60 sahaja yang berhak menerima subsidi, tidak seperti sekarang di mana semua pihak tanpa mengira status kaya atau miskin, warga asing atau tempatan menikmati subsidi yang sama,” katanya menerusi kenyataan.
Sementara itu dalam kenyataan sama Chua berkata, sebagai bekas perdana menteri Muhyiddin sepatutnya faham kerajaan tidak menghapuskan subsidi sepenuhnya sebaliknya mengagihkannya dengan cara yang lebih tepat.
Setakat ini jelasnya, sebanyak 30,000 pemilik kenderaan diesel telah mula menerima bantuan tunai bulanan sebanyak RM200 melalui inisiatif Budi Madani.
BACA LAGI: Penyasaran subsidi bahan api langkah amat terpuji – Tengku Razaleigh
“Ini berbeza dengan cadangan yang dilontarkan oleh Muhyiddin pada tahun 2022, di mana beliau hanya mencadangkan penyasaran semula subsidi dan tidak menyentuh langsung mengenai bantuan tunai yang perlu diberikan kepada rakyat.
“Subsidi pukal yang ditanggung oleh kerajaan perpaduan adalah sebanyak RM60 bilion setahun yang dibayar kepada syarikat minyak, dan subsidi cara lama ini banyak disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang mencuri subsidi yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat Malaysia,” tambahnya.