Semasa

Hampir 200,000 permohonan ‘fleet card’ sudah diluluskan – Menteri KPDN

Sebanyak 198,049 permohonan kenderaan untuk menyertai Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) telah diluluskan setakat 12 Jun.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sebanyak 59,940 syarikat telah mendapat kelulusan permohonan subsidi diesel melalui inisiatif ‘fleet card’ di bawah SKDS.

“Pada 13 Mei 2024, SKDS 2.0 telah ditawarkan kepada tambahan 14 jenis pengangkutan barangan menjadikan keseluruhan 33 jenis pengangkutan yang terlibat. Ini termasuk penerima awal SKDS 1.0 iaitu 10 jenis kenderaan pengangkutan awam.

“Sehingga 12 Jun, jumlah keseluruhan syarikat melibatkan 198,046 kenderaan pengangkutan awam dan barangan telah mendapat kelulusan.

“Kelulusan serta-merta boleh diberikan melalui sistem MySubsidi Diesel sebaik permohonan disertakan dengan maklumat lengkap,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Armizan sementara itu menjangkakan permohonan akan terus meningkat sehingga 30 Jun selaras dengan tarikh akhir pembayaran semula secara tunai kepada penerima SKDS yang masih belum menerima ‘fleet card’.

Pada 9 Jun lalu, kerajaan menetapkan harga diesel di Semenanjung pada kadar RM3.35 seliter bermula 10 Jun selaras dengan pelaksanaan penyelarasan semula subsidi bahan api tersebut.

Susulan itu harga diesel semasa akan diumumkan pada setiap minggu, mengikut amalan semasa Kementerian Kewangan.

Sementara itu menurut Armizan, permohonan bagi inisiatif ‘fleet card’ terus menunjukkan peningkatan kadar harian yang tinggi setelah pengumuman pelaksanaan penyasaran subsidi dan pelarasan harga baharu diesel.

“Pada 10 Jun terdapat peningkatan sebanyak 7,097 syarikat atau 477 peratus dan 16,584 kenderaan bersamaan 548 peratus berbanding hari sebelumnya iaitu 9 Jun yang hanya mencatatkan kelulusan permohonan sejumlah 1,487 syarikat dengan melibatkan 3,028 kenderaan,” katanya.

Related Articles

Back to top button