Semasa

Kerajaan komited bangun ekosistem sektor pertanian

Elemen ‘ease of doing business’ wajar diterapkan bagi menyokong ekosistem perniagaan dan pelaburan dalam sektor pertanian, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pentadbirannya komited dengan pembangunan ekosistem industri tersebut serta pengadaptasian teknologi dan meneroka potensi makanan masa hadapan, seperti daging kultur, hasil daging kultur dan ‘cell-based food’.

Justeru beliau mengarahkan agar tindakan segera diambil terhadap beberapa perkara mendesak bagi mencapai tujuan itu.

“Inisiatif ini perlu didahului dengan kajian menyeluruh bagi memastikan tahap kualiti dan keselamatan makanan adalah terjamin.

“Pemodenan pertanian seperti pembangunan kilang tanaman akan menyokong pertumbuhan industri teknologi pertanian bagi menghasilkan pengeluaran makanan lestari sebagai alternatif kepada pengeluaran tanaman semasa,” katanya melalui satu kenyataan.

Kenyataan itu menyusul mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara Bilangan 1 Tahun 2024 yang dipengerusikannya semalam.

Sementara itu, Anwar berkata, mesyuarat yang tujuannya untuk memperkasa industri agromakanan negara itu.turut bersetuju dengan pembangunan indikator keterjaminan makanan, merangkumi maklumat berkaitan harga dan ketersediaan makanan di seluruh peringkat.

BACA LAGI: Kerajaan tambah bantuan untuk golongan pesawah

“Saya yakin segala ikhtiar diputuskan dalam mesyuarat ini akan terus melonjak pembangunan sektor pertanian dan agromakanan supaya menjadi penyumbang utama ekonomi negara dan terus memanfaatkan rakyat.

“Alhamdulillah, mesyuarat dimaklumkan mengenai prestasi dan produktiviti dalam sektor pertanian serta agromakanan yang tampak memberikan kesan positif dengan mencatatkan pertumbuhan dalam tempoh setahun kebelakangan ini,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button