Semasa

MAPIM sokong langkah kerajaan laksana subsidi diesel bersasar

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyokong langkah kerajaan melaksana subsidi bersasar.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ia memandangkan kemudahan bernilai berbilion ringgit itu sudah sekian lama tersalur kepada golongan mewah.

Pelaksanaan subsidi secara pukal sebelum ini yang turut dinikmati warga asing tegasnya amat membebankan dan tidak kondusif kepada kemampanan kewangan negara.

“Subsidi bersasar adalah untuk memastikan golongan rakyat bawahan yang berpendapatan rendah didahulukan. Wang subsidi perlu disalur tepat kepada sasaran.

“Ketika subsidi dinilai semula, rakyat perlu memiliki maklumat yang tepat dan betul. Reaksi spontan tanpa mendapat maklumat yang benar akan terdedah kepada manipulasi politik berkepentingan,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kerajaan mengumumkan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang melibatkan penetapan harga runcit diesel mengikut harga pasaran, yang dilaksanakan serentak dengan bantuan bersasar untuk sektor logistik serta pengagihan Bantuan Tunai Budi Madani bermula Isnin, 10 Jun 2024.

Mohd Azmi sementara itu menjangkakan ada pihak tertentu akan menggunakan isu penyasaran semula subsidi itu untuk menaratifkan keputusan kerajaan sebagai anti rakyat.

“Akan tetapi kepentingan jangka panjang dalam konteks harga pasaran global semasa perlu diambilkira dan perlu diutamakan.

“Kami yakin pihak kerajaan telah mengambil kira semua aspek ketika keputusan ini dibuat. Mencapai matlamat keadilan sosio- ekonomi rakyat sekaligus memacu pembangunan negara,” ujarnya.

Melalui kenyataan tersebut beliau berharap penjimatan yang diperolehi dari langkah tersebut dapat disalurkan kepada pembangunan awam seperti sekolah, klinik, jalan raya dan pendidikan.

Beliau turut menggesa pemantauan diperketat bagi memastikan tiada pihak cuba mengambil kesempatan menaikkan harga susulan keputusan itu.

“Pemantauan dan penguatkuasaan perlu dilaksanakan dengan berkesan. Pihak yang cuba meraih keuntungan daripada keputusan ini akan mencari jalan untuk mengeksploitasi keadaan dari wang subsidi,” katanya.

Related Articles

Back to top button