Kerajaan bakal laksana kajian hasilkan daging kultur sebagai sumber alternatif – Menteri KPKM
Satu kajian bagi mengkaji potensi serta kebolehlaksanaan penghasilan daging kultur sebagai sumber alternatif daging bakal dilaksana, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu.
Melalui satu kenyataan, beliau berkata perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (JKSMN) Bil 1/2024 dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis.
Justeru kajian bakal dilaksana Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi universiti bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Institut Bioteknologi Kebangsaan (NIBM).
“Sesi mesyuarat turut memberi tumpuan bagi memperkasakan keterjaminan makanan negara menerusi pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi seperti pelaksanaan Projek Ladang Tenusu Chuping usaha sama FGV, Touch Group dan Baladna.
“ (serta)…cadangan hala tuju dan pembangunan ekosistem industri tanaman bawang tempatan menerusi sokongan kewangan untuk pembangunan infrastruktur serta sokongan di sepanjang rantaian pengeluaran bawang,” katanya.
Sementara itu menurut Mohamad, mesyuarat JKSMN antara lain mengetengahkan aspirasi kerajaan dalam merangka dasar dan strategi keterjaminan makanan agar lebih berdaya saing dan lestari bagi memastikan kestabilan dan kemampanan keterjaminan makanan negara.
BACA LAGI: Kerajaan komited bangun ekosistem sektor pertanian
Beliau berkata mesyuarat turut membincangkan kaedah penanaman masa hadapan menerusi pembangunan kilang tanaman sebagai usaha menyokong pertumbuhan industri berasaskan penggunaan teknologi bernilai tinggi.
Susulan itu penyeragaman dan penyediaan Garis Panduan Perancangan Kilang Tanaman (GPP KiTa) yang komprehensif telah diutarakan dalam mesyuarat itu yang bertujuan meningkatkan ekosistem serta produktiviti hasil tanaman negara.