Semasa

Kerajaan setuju tubuh Jawatankuasa Dekarbonisasi Kebangsaan

Kerajaan Persekutuan bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Dekarbonisasi Kebangsaan bagi memastikan peralihan kepada pembangunan rendah karbon dilaksanakan secara teratur dan seimbang.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi perkongsian dalam Facebook selepas mempengerusikan Mesyuarat Kelima Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara (MTPIN) pada Jumaat.

Menurut Anwar, Jawatankuasa itu akan membabitkan kerajaan negeri serta pihak berkepentingan berkaitan dan akan turut disokong dengan dasar baharu yang lebih terangkum dan menyeluruh dengan mengambil kira komitmen negara di bawah Perjanjian Paris.

“Sektor kewangan juga turut memberikan komitmen dalam memperkukuh peranan institusi kewangan dalam menyokong hala tuju peralihan pembangunan rendah karbon menerusi Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim.

“Segala keputusan hari ini akan menjadi asas kepada pendirian negara pada persidangan peringkat antarabangsa. Isu perubahan iklim serantau juga akan diberi keutamaan semasa Malaysia memegang kepengerusian ASEAN bermula tahun depan,” kata Anwar.

MTPIN ialah platform perbincangan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi menetapkan dasar dan hala tuju berkaitan perubahan iklim.

Dalam mesyuarat itu, Anwar berkata, Malaysia kekal komited dalam memastikan aspirasi Pelepasan Gas Rumah Kaca (GHG) sifar bersih negara dapat dicapai menjelang 2050.

BACA LAGI: NRES pertimbang undang-undang khusus tangani pembuangan, pencemaran plastik

Beliau turut menekankan pendekatan pelbagai dimensi oleh semua pihak dalam usaha mengarusperdanakan perubahan iklim dalam dasar sektoral dan rancangan pembangunan negara.

Justeru, beliau yakin inisiatif yang diputuskan dalam mesyuarat itu akan memastikan negara terus progresif dalam menangani isu perubahan iklim secara holistik dan bersepadu demi melindungi generasi masa hadapan.

Related Articles

Back to top button