Semasa

Penjimatan dari penyasaran subsidi diesel akan diguna untuk bantu rakyat – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan penjimatan daripada langkah penyasaran subsidi dilaksanakan Kerajaan Perpaduan akan dikembalikan semula kepada rakyat seadilnya.

Berucap pada Himpunan Aspirasi MADANI Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) di Putrajaya pada Jumaat, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pemulangan itu khususnya bagi menampung keperluan pengangkutan awam dan suntikan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

“Kita tidak dera rakyat miskin. Setiap sen tambahan, kita pulangkan balik,” katanya sambil menjelaskan golongan berhak merangkumi nelayan, pengusaha bas sekolah dan pekebun kecil masih menikmati subsidi diesel.

Sementar aitu pada ucapannya juga Anwar sekali lagi menegaskan bahawa langkah penyasaran subsidi diesel perlu dilaksana kerana telah berlaku ketirisan melampau bahan bakar itu khususnya melibatkan penggunaan oleh kapal nelayan asing.

“Jumlah kenderaan mungkin naik sekitar lapan peratus tapi penggunaan diesel naik 20 ke 30 peratus, maknanya yang lain itu bocor.

“Tiris siapa bayar? Negara bayar… wang itu sepatutnya disalurkan ke pendidikan, kesihatan, untuk orang miskin tapi hilang kepada penyakau ini dan sebab itu kita kena buat penyasaran,” katanya.

BACA LAGI: MAPIM sokong langkah kerajaan laksana subsidi diesel bersasar

Susulan pelaksanaannya, Anwar turut mahu tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan atau perkhidmatan meskipun menerima subsidi diesel.

Beliau memberi amaran bahawa tindakan tegas bakal diambil terhadap pihak yang sengaja mengambil kesempatan dari dasar diumumkan kerajaan itu.

Mengambil contoh perkhidmatan bas sekolah yang menerima subsidi diesel, beliau berkata pengusaha bas berkenaan bakal berdepan tindakan lesen dibatalkan jika menaikkan harga perkhidmatan mereka.

“Kita bagi amaran, kamu diberi subsidi (diesel)… jika kamu naik (harga) juga dalam keadaan kamu dapat subsidi, kami tarik lesen kamu dan batalkan syarat,” katanya.

Related Articles

Back to top button