Semasa

10 syarikat diberi tempoh 4 hari jawab notis sebab naikkan harga

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi tempoh empat hari bekerja untuk sepuluh syarikat memberi alasan sebab menaikkan harga perkhidmatan mereka.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh, berkata begitu sebagai mengulas laporan media pada Jumaat bahawa sepuluh syarikat terbabit telah diberi notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Mengulas lanjut Fuziah berkata, notis dikeluarkan oleh KPDN di negeri masing-masing dan mana-mana syarikat didapati cuba mengambil untung tidak wajar susulan pelaksanaan subsidi diesel bersasar diumum kerajaan baru-baru ini bakal berdepan tindakan undang-undang.

“Siasatan masih berjalan dan untuk membuktikan pengambilan untung yang tidak wajar, data yang banyak sehingga dua tahun diperlukan.

“Syarikat perlu menyediakan maklumat kepada kementerian mengenai kos pengeluaran, termasuk bahan mentah, operasi, kos buruh, tenaga dan kos pengangkutan.

“Data untuk seluruh rantaian bekalan mesti disediakan kepada kementerian,” katanya dipetik laporan New Straits Times.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali melalui laporan sebelum ini berkata, syarikat berkenaan meliputi pelbagai sektor, termasuk tiga dari pengangkutan, tiga dari bahan binaan, dua dari makanan dan minuman dan dua dari penyewaan mesin.

BACA LAGI: KPDN siasat pihak ancaman naik harga perkhidmatan

KPDN pada 8 Jun lalu melancarkan Ops Kesan 2.0 untuk memastikan pematuhan terhadap peraturan yang berkaitan dengan penentuan harga dan kenaikan dalam sektor perkhidmatan di bawah SKDS 2.0.

Mana-mana pihak yang didapati memanipulasi harga akan menghadapi tindakan tegas di bawah peruntukan undang-undang semasa, yang mana denda boleh mencecah sehingga RM500,000 untuk syarikat dan sehingga RM100,000 untuk individu, atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Related Articles

Back to top button