Semasa

3 pelan berkaitan alam sekitar dipercepat untuk capai aspirasi sifar bersih 2050 – Nik Nazmi

Kerajaan bersetuju mempercepatkan pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR).

Selain itu, kerajaan turut bersetuju penggubalan dasar baharu seperti Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUU PIN) dalam mencapai sifar bersih pada tahun 2050, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Nik Nazmi Nik Ahmad.

“Keputusan itu, dicapai dalam Mesyuarat Kelima Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara (MTPIN) Bilangan 1 Tahun 2024, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Mesyuarat turut bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Dekarbonisasi Kebangsaan yang dipengerusikan saya sendiri, untuk memantau pelaksanaan pelan tindakan bagi mencapai sasaran ini,” katanya dalam kenyataan.

Nik Nazmi berkata beliau telah membentangkan tiga kertas dalam MTPIN dengan perkara utama yang dibincangkan termasuk cadangan penetapan tahun sasaran aspirasi pelepasan gas rumah kaca (GHG) sifar bersih negara pada tahun 2050, berdasarkan hasil kajian Pembangunan Hala Tuju dan Pelan Tindakan Nationally Determined Contributions (NDC) dan Strategi Jangka Panjang Pembangunan Rendah Karbon (LT-LEDS).

MTPIN turut bersetuju untuk meluluskan Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0, iaitu dasar tersebut akan saling melengkapi inisiatif lain antaranya penggubalan RUU PIN, pembangunan Pelan Adaptasi Nasional dan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan.

BACA LAGI: NRES beri jaminan teliti dakwaan RimbaWatch

Justeru menurut Nik Nazmi, pendekatan beraspirasi tinggi itu akan menjadi pemangkin kepada Malaysia untuk menjadi mercu tanda pertumbuhan ekonomi hijau, serta menjana pekerjaan hijau untuk rakyat.

Beliau sementara itu memaklumkan, bagi meneruskan penyertaan aktif Malaysia di persidangan antarabangsa, beliau telah membentangkan perancangan pembangunan Pavilion Malaysia di Persidangan ke-29 Pihak-Pihak kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC COP-29).

“Pada mesyuarat ini juga, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti membentangkan tindak balas sektor kewangan dalam perubahan iklim yang diterajui oleh Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3).

“Inisiatif yang dirancang ini merupakan manifestasi kerajaan dalam menangani isu perubahan iklim secara komprehensif dengan mengurangkan pelepasan GHG, memperkukuhkan daya tahan negara terhadap kesan perubahan iklim serta menggalakkan peralihan ke arah pembangunan lebih lestari dan rendah karbon,” kata Nik Nazmi.

Related Articles

Back to top button