Semasa

PM Anwar ziarah, solat jenazah ibu menteri pendidikan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa lebih sejam menziarahi Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang kehilangan ibu beliau Datin Dr Siti Zalikhah Md Nor, yang meninggal dunia pagi tadi.

Anwar yang tiba di Surau Al-Mujahidin, Desa Surada, Bangi pada jam 12.55 tengah hari ditemani isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau kemudian menyertai kira-kira 1,000 jemaah menunaikan solat jenazah yang diimamkan anak kelima Allahyarhamah iaitu Hazim Faizi Siddiq.

Pejabat Menteri Pendidikan menerusi hantaran di laman Facebook Fadhlina mengesahkan bahawa Datin Dr Siti Zalikhah Mohd Nor , 75, meninggal dunia di Hospital Serdang pada 9.30 pagi tadi

Jenazah selamat dikebumikan jam 2.45 petang di Tanah Perkuburan Islam Sungai Ramal Dalam di sini, hari ini.

Siti Zalikhah yang dilahirkan di Perak adalah balu kepada bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Allahyarham Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil dan mempunyai tujuh orang anak.

Allahyarhamah merupakan ahli Jawatankuasa Panel Kajian Syariah (PKS) di bawah Majlis Fatwa Malaysia dan ahli jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji yang dipilih oleh Tabung Haji serta seorang peguam syarie dan berpengalaman dalam bidang Undang-undang Keluarga Islam.

Allahyarhamah juga pernah dilantik Ketua Hal Ehwal Wanita (HELWA) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) selama empat penggal di bawah dua kepimpinan Presiden ABIM iaitu Anwar dan Dr Siddiq dari 1977 hingga 1985.

Related Articles

Back to top button