Subsidi diesel bersasar: Kerajaan akan lakukan penambahbaikan
Kerajaan akan melaksana langkah penambahbaikan terhadap pelaksanaan subsidi diesel, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam ucapan sempena peluncuran Pelan Induk Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) di Dewan Zainal Abidin Zin di Bagan Serai pada Sabtu Anwar mengakui ada kelemahan dalam pelaksanaan pelan itu dan kerajaan bersedia memperbaikinya terutama bagi memastikan rakyat tidak terkesan terutama mereka yang diberi kelayakan menerima subsidi tersebut.
“Apabila kita laksanakan penyasaran subsidi diesel, saya percaya tidak akan sempurna sepenuhnya, akan ada beberapa kelemahan, namun kita cuba (perbaiki).
“Penyasaran subsidi ini kita beri kepada yang harus kekal seperti golongan nelayan, pesawah, pemandu teksi dan pemandu bas.
“Jika ada kalangan mereka ini belum dapat bantuan, saya beri arahan untuk bantu sekarang,” katanya.
Sementara itu pada ucapannya Anwar berkata, kerajaan sedar bahawa penyasaraan subsidi bahan bakar tersebut telah mencetuskan polemik di kalangan rakyat sehingga kerajaan dituduh sebagai zalim.
Namun tegasnya, jika tiada keberanian untuk melaksana langkah itu sekarang, tahun demi tahun kerajaan hanya melaksanakan dasar yang merugikan negara.
BACA LAGI: MAPIM sokong langkah kerajaan laksana subsidi diesel bersasar
“Jadi janganlah kata tindakan itu zalim. Jika syarikat-syarikat besar sengaja ambil peluang terima bantuan kerajaan (subsidi) sedangkan untungnya besar, tidaklah munasabah untuk mereka juga dapat subsidi.
“Itu belum lagi tangkapan yang kita tengok antaranya di Sarawak, Kelantan dan Perak. Di mana-mana sahaja wujud penyelewengan, itu yang kita kena hentikan,” tegas Anwar.