Semasa

Doa Amirudin untuk rakyat Malaysia dari Arafah

Menteri Besar Selangor yang kini sedang menunaikan fardhu haji menitipkan doa kepada rakyat Malaysia ketika berada di Arafah.

Melalui rakaman video di laman Facebooknya, Datuk Seri Amirudin Shari mendoakan kesejahteraan dan keselamatan untuk seluruh rakyat Malaysia khususnya warga Selangor.

Beliau turut mendoakan agar Selangor dan Malaysia terus dilimpahkan keamanan dan kemakmuran selain turut mendoakan perpaduan dan kesatuan dalam kalangan rakyat terus utuh bagi menempuhi cabaran mendatang.

“Kira-kira jam 2.50 petang di bumi Arafah saya dan juga jutaan umat Islam baru selesai aktiviti, berdoa, bermunajat sempena dengan rukun utama menunaikan haji iaitu berwukuf di Arafah.

“Ini adalah waktu yang paling mustajab berdoa dan dalam doa tadi saya panjatkan selain daripada kesejahteraan secara peribadi untuk diri dan keluarga serta sahabat.

“Saya turut memanjatkan doa kepada Allah agar bumi Selangor dan Malaysia dilimpahkan keamanan, kedamaian, kemakmuran, dijamin perpaduan dan juga kesatuan rakyatnya dalam menempuhi cabaran mendatang,” katanya melalui rakaman tersebut.

BACA LAGi: Selangor taja 36 individu tunai haji tahun ini 

Amirudin sementara itu turut memberitahu, beliau sangat terkesan dengan keadaan pemain sayap Selangor FC Faisal Halim yang menjadi mangsa simbahan asid baru-baru ini.

Katanya, beliau mendoakan Faisal akan segera sembuh dan mendapat keadilan untuknya akan dapat ditegakkan.

“Saya berdoa agar keadilan dapat ditegakkan khusus untuk Faisal dan keluarganya. Semoga beliau segera sembuh untuk menjaga keluarganya dan tidak ketinggalan untuk meneruskan karier selaku pemain bola sepak Malaysia dan Selangor,” kata sambil mengucapkan selamat menyambut Aidiladha kepada seluruh umat Islam.

Related Articles

Back to top button