Kerajaan secara prinsip setuju lulus peruntukan salur air ke Empangan Bukit Merah
Kerajaan MADANI secara prinsipnya telah bersetuju untuk meluluskan peruntukan pelaksanaan projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata projek itu yang bertujuan menyediakan bekalan air terawat ke utara Perak dan Pulau Pinang yang dianggarkan menelan kos RM4 bilion turut akan menyokong projek Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP), di Kerian.
“Kalau diurus bekalan air itu (di Perak) dengan baik, ia bukan sahaja mencukupi malah melebihi, melalui projek pengurusan air dan beberapa program tempatan ia akan dapat memenuhi keperluan di KIGIP, keperluan pengairan di Kerian dan terus ke Seberang Perai.
“Ia memerlukan dana RM4 bilion, dan kerajaan pada dasarnya bersetuju, walaupun bukan tahun ini tetapi kita akan jadikan ia sebagai keutamaan,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata begitu ketika berucap merasmikan Pelan Induk Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) di Dewan Zainal Abidin Zin di Bagan Serai pada Sabtu.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Sementara itu Anwar dalam satu hantaran di laman Facebooknya berkata, pembangunan KIGIP telah beliau umumkan semasa pembentangan Belanjawan 2024.
Ia merupakan suatu perancangan untuk membina ekosistem industri yang lebih luas di utara semenanjung melalui pembangunan kawasan perindustrian eko dan berteknologi tinggi di daerah Kerian, Perak.
KIGIP digerakkan melalui pendekatan whole-of-Government melibatkan kerjasama dan sinergi erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Perak, SD Guthrie Berhad dan Permodalan Nasional Berhad.