Mahasiswa diseru jadi teladan, elak diri main isu 3R
Penuntut Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta dinasihatkan agar mengelak diri daripada memainkan isu 3R (kaum, agama dan raja).
Sebagai rakyat Malaysia, adalah penting untuk mahasiswa menjaga keharmonian kaum dan agama yang dibina selama ini, tegas Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud
“Keadaan kini agak menggusarkan apabila isu-isu 3R semakin menjadi aliran utama dan kita di memang tidak mahu isu ini menjalar ke negeri ini.
“Pesanan saya kepada siswa dan siswi, janganlah sesekali terlibat atau terjebak dengan isu 3R ini kerana ianya tidak baik untuk masa depan negara dan untuk mereka yang bakal menjadi pemimpin negara pada satu ketika nanti,” katanya.
Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Kampus dan Karnival Hari Terbuka City University Malaysia Pusat Wilayah Sabah pada Sabtu.
Pada majlis berkenaan, Mustapha turut menyaksikan sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) diantara City University Malaysia Pusat Wilayah Sabah dan Gagasan Nuri Sdn. Bhd. selain menyampaikan sumbangan biasiswa kepada 30 pelajar terpilih untuk melanjutkan pengajian di City University Malaysia Pusat Wilayah Sabah.
Dalam majlis yang sama, juga diadakan penyerahan zakat daripada City University Malaysia kepada pelajar asnaf berjumlah RM45,950 dan Bantuan Keperluan Hidup berjumlah RM500.
Sementara itu beliau turut menekankan dinamika pendidikan turut mempengaruhi keperluan sumber manusia sesuai dengan perkembangan industri semasa.
“Sehubungan itu jelasnya, kementerian menggalakkan institusi pendidikan mempelopori bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang amat diperlukan pada ketika ini.