Semasa

Veteran ATM disaran kemaskini VIBES 2.0, elak tertinggal terima bantuan kerajaan

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari menggesa veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendaftar dan mengemas kini maklumat semasa melalui sistem VIBES 2.0.

Melalui satu kenyataan beliau berkata, ia bagi memastikan veteran berkelayakan dapat menikmati skim disediakan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM termasuk bantuan sara hidup, persekolahan, kemasukan ke institusi pengajian tinggi, peralatan pesakit dan bencana alam dapat disalurkan secara efektif serta teratur kepada veteran berkelayakan.

“Kerajaan komited meningkatkan peruntukan JHEV ATM daripada RM118 juta kepada RM244 juta pada tahun 2024, peningkatan yang begitu ketara ini mampu memberi manfaat lebih luas kepada Veteran ATM.

“Pada tahun ini juga, kerajaan meningkatkan peruntukan bayaran sara hidup sebanyak tiga kali ganda iaitu daripada RM54 juta kepada RM174 juta dan setakat 31 Mei 2024, seramai 29,247 veteran menerima faedah ini,” menurutnya.

Beliau berkata, pendaftaran dan proses kemas kini boleh dibuat di JHEV atau persatuan-persatuan veteran di lokaliti masing-masing.

BACA LAGI: BHS bulanan untuk veteran tidak berpencen bukti keprihatinan kerajaan MADANI

Sementara itu katanya, inisiatif Peduli Veteran MADANI (PVM) akan menjadi platform Kementerian Pertahanan untuk menyalurkan sumbangan kebajikan dan insentif keusahawanan kepada veteran ATM yang memerlukan sebagai galakan bagi memperkasakan sosioekonomi.

“PVM akan dipertingkat menerusi kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta agensi berkaitan menerusi lawatan kebajikan agar tiada veteran ATM yang terpinggir daripada menerima insentif disediakan,” katanya.

PVM berfungsi sebagai medan interaksi dua hala antara Kementerian Pertahanan dan Veteran ATM membabitkan lima perkara utama iaitu kebajikan, kesihatan, perumahan, pendidikan serta pemerkasaan ekonomi veteran.

Related Articles

Back to top button