Kecurian kabel komunikasi: kerajaan pertimbang hukuman keras terhadap pesalah
Kerajaan sedang menimbangkan hukuman lebih berat bagi kesalahan berkaitan kegiatan mencuri kabel komunikasi sehingga menyebabkan gangguan perkhidmatan.
Hukuman itu akan dicadangkan dalam pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang sedang diperincikan oleh Jabatan Peguam Negara, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
“Saya akan minta pasukan di Kementerian Komunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk meneliti dan memberi beberapa ulasan serta cadangan (hukuman) kerana pada waktu ini, draf pindaan akta itu sedang diteliti dan diperinci, melibatkan beberapa peruntukan mengenai aspek mutu perkhidmatan rangkaian (telekomunikasi).
“Pindaan ini kita buat bukan hanya kerana melihat kejadian kecurian kabel dan vandalisme tetapi juga disebabkan (gangguan) mutu perkhidmatan komunikasi, kerana ini antara perkara yang sering dibangkitkan oleh para pengguna, oleh itu ia dalam penelitian sebelum kita bawa ke Parlimen nanti,” katanya.
Fahmi ditemui pemberita pada Program Korban Perdana Lembah Pantai pada Isnin sebagai menjawab pertanyaan mengenai tindakan kerajaan untuk membendung kegiatan mencuri kabel tembaga komunikasi yang semakin berleluasa ketika ini.