Semasa

Penceramah diseru pastikan kandungan dakwah tepat, sahih

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyeru golongan penceramah dan pendakwa di negara ini supaya memastikan isi kandungan dakwah yang disampaikan kepada masyarakat adalah berdasarkan sumber yang tepat dan sahih berlandaskan al-Quran dan sunnah.

Dr Zulkifli Hasan berkata, langkah itu bagi memastikan kekeliruan di kalangan masyarakat terhadap sesuatu isu dapat dihindari.

“Kita nampak niat mereka ini untuk menarik orang ramai untuk beribadah, namun kebaikan hanya boleh disampaikan menerusi kebenaran, bukan dengan maklumat yang tidak tepat dan palsu. Jadi saya harap pendakwah, sampaikan kebaikan dengan sumber sahih.

“Kita ingin pastikan kualiti dan penyampaian itu mestilah berpandukan kepada sesuatu yang mempunyai sumber diterima Ahli Sunnah Wal-Jamaah dan disiplin ilmu itu sendiri,” katanya.

Tambah Zulkifli, pihaknya sentiasa mengadakan pendekatan harmoni dengan mengadakan sesi perbincangan dan libat urus selain memberikan nasihat kepada golongan guru agama (asatizah) dan pendakwah berhubung sesuatu perkara.

BACA LAGI: Stesen penyiar diseru rujuk agensi agama sebelum undang penceramah bebas

Terdahulu timbul kontroversi seorang pendakwah yang didakwa menggunakan hadis tanpa sumber ketika mengacarakan sebuah program televisyen baru-baru ini.

RTM kemudian ‘merehatkan’ sementara pendakwan itu dari bersiaran dalam satu program disiarkan, namun setelah dibenarkan semula pendakwah itu membuat pula dakwaan ‘memandang wajah guru, lebih baik dari sedekah 1000 ekor kuda di jalan Allah’ yang kemudian mencetus banyak pertikaian dalam kalangan orang ramai.

Related Articles

Back to top button