Negeri

Selangor bakal perluas Maahad Integrasi Tahfiz ke semua daerah – EXCO

Kerajaan Negeri Selangor bakal memperluas Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) ke sembilan daerah di negeri itu dalam usahanya memperkukuh institusi pendidikan aliran Islam.

EXCO agama Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, sehubungan hasrat itu kurikulum dan sukatan pelajaran juga bakal ditambah baik merangkumi modul tahfiz serta sains dan teknologi.

Selain itu pengukuhan kemahiran teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) serta fasiliti sukan juga akan turut diberi perhatian.

“Sekarang kita ada empat termasuk di Sabak Bernam dan Klang. Kita (hasrat) perluas ke semua sembilan daerah selepas ini,” katanya Ketika program ibadah korban di Surau Al-Bukhary Laman Glenmarie pada Isnin,.

Sementara itu Dr Mohammad Fahmi turut menggesa institusi tahfiz persendirian yang belum mendaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) agar berbuat demikian melalui Persatuan Institusi Tahfiz Selangor (Pitas) sebelum 31 Disember depan.

Pendaftaran itu bagi melayakkan mereka menyertai program pemutihan.

BACA LAGI: Kerajaan akan terus perkukuh dasar pendidikan tahfiz

“Tahun depan Pitas akan memastikan permohonan Kebenaran Merancang Tempoh Terhad (KMTT) diberikan kepada pengusaha supaya mereka boleh beroperasi.

“Selepas hantar permohonan KMTT, ini memberi ruang dan peluang untuk mereka beroperasi selama tempoh tiga tahun dan perlu memenuhi syarat mendapatkan KM penuh dalam tempoh itu.

“Tapi jika dalam tempoh tiga tahun itu mereka tidak boleh memenuhi syarat mendapatkan KM penuh maka penguatkusaan boleh dilakukan. Ini bagi memastikan keselamatan serta kebajikan pelajar dan guru terjamin,” katanya.

Related Articles

Back to top button