Semasa

Subsidi diesel tidak dihapuskan seperti didakwa

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan subsidi diesel tidak dihapuskan seperti naratif cuba dibawa pihak tertentu.

Melalui satu kenyataan, beliau menegaskan apa yang dilakukan pentadbirannya baru-baru ini adalah memastikan pengurusan subsidi yang lebih cekap, tidak tiris dan sampai kepada kumpulan rakyat yang selayaknya.

Melalui penyasaran semula subsidi, kerajaan jelasnya masih menanggung sekitar RM7 bilion subsidi berkaitan diesel di Semenanjung Malaysia.

“Tujuan utama dalam dasar penyasaran subsidi diesel ini adalah memastikan pembaziran subsidi tidak lagi diteruskan sambil memastikan penjimatan mesti dipulangkan kepada rakyat terbanyak,“ katanya melalui kenyataan tersebut.

Mengulas lanjut Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga akan terus komited menangani penyeludupan diesel sambil berusaha mengimbanginya dengan perihal bekalan dan kos sara hidup rakyat.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) jelasnya menggerakkan Ops Tiris yang berlangsung sejak 1 Mac 2023 bagi membanteras permasalahan penyelewengan diesel bersubsidi yang memanfaatkan pihak tidak layak.

Kerajaan mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik bermula 10 Jun.

BACA LAGI: KPDN perketat kawalan, kerjasama dengan pihak berkuasa benteras penyeludupan diesel

Penetapan harga dan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar itu dijangka dapat memberikan penjimatan RM4 bilion setahun di samping mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang.

“Hasil penjimatan daripada penyasaran subsidi tentunya akan dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam dan lain-lain sektor yang memberi dampak terbesar kepada rakyat,” tambah Anwar.

Related Articles

Back to top button