Semasa

Dr Wan Azizah seru pelajar hargai pengorbanan guru dan ibu bapa

Golongan pelajar diseru menghargai pengorbanan guru dan ibu bapa yang telah bertungkus-lumus memastikan mereka mendapat peluang pendidikan terbaik.

Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kejayaan anak-anak juga adalah hasil usaha guru dan ibu bapa yang tidak jemu membimbing mereka.

“Banyak pengorbanan yang dilakukan oleh guru dan ibu bapa, jadi ingatlah (jasa mereka) dan sentiasa berpegang dengan budaya timur kita yang penuh dengan nilai sopan santun,” katanya.

Dr Wan Azizah sebelumnya berucap berucap merasmikan Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SPM Sungai Bakap 2023 di Nibong Tebal pada Selasa.

Majlis yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohammad Abdul Hamid dan Pengarah Pendidikan negeri Abdul Said Hussain itu diadakan bagi menghargai pencapaian cemerlang 155 pelajar lima sekolah di kawasan itu.

BACA LAGI: KPM usaha tingkat infrastruktur dan infostruktur di Sekolah, selari dasar pendidikan digital

Pada ucapannya, Wan Azizah turut menyifatkan pendidikan sebagai sangat berharga dan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sanggup menolak kerja bergaji tinggi di Amerika Syarikat semata-mata ingin menubuhkan sekolah untuk pelajar yang tercicir dalam pelajaran.

“Pada masa itu, beliau merupakan graduan dari Universiti Malaya dan ditawarkan kerja di New York dengan gaji US$3,000 namun beliau tolak untuk menubuhkan sekolah untuk pelajar tercicir.

“Sekolah tersebut ditubuhkan untuk beri mereka peluang kedua dalam pembelajaran. Itu menunjukkan betapa pentingnya pendidikan untuk PMX (Perdana Menteri ke-10),” katanya sambil menyatakan harapan pelajar akan menyumbang kepada pembangunan negara suatu hari nanti.

Related Articles

Back to top button