Malaysia mulakan prosedur sertai BRICS, kata Perdana Menteri
Malaysia akan memulakan prosedur rasmi untuk menyertai kesatuan ekonomi dipelopori oleh negara Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan atau lebih dikenali sebagai BRICS tidak lama lagi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan telah mengambil keputusan yang sewajarnya berhubung perkara tersebut.
“Kami akan melancarkan proses rasmi tidak lama lagi. Sekarang kami sedang menunggu keputusan akhir, maklum balas daripada kerajaan Afrika Selatan,” katanya dalam temu bual bersama Guancha, syarikat penerbitan berpangkalan di Shanghai, China.
Menurut laporan itu lagi Anwar berkata, beliau sudah mengadakan perbincangan mengenai pengembangan BRICS dengan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.
BACA LAGI: Malaysia tidak pertaruh kedaulatan negara dalam menandatangani perjanjian antarabangsa
BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun merangkumi Brazil, Rusia, India dan China dengan Afrika Selatan menyertai kumpulan itu pada 2010.
Pada Januari 2024 pula, negara Iran, Mesir, Ethiopia, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyertai organisasi itu sebagai ahli baharu.