Yadim sedia bantu pastikan kesahihan maklumat agama
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) sedia membantu media massa dalam memastikan kesahihan maklumat agama.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yadim, Zamri Zainal Abidin dipetik laporan Malaysiakini menegaskan badan dakwah itu mempunyai unit penyelidikan dakwah yang berpengalaman dalam membantu kerja-kerja penyemakan kesahihan fakta.
“Ini adalah satu inisiatif daripada badan dakwah kami demi memastikan ketulenan sumber agama terpelihara di media massa,” katanya.
Baru-baru ini timbul kontroversi membabitkan kenyataan seorang penceramah bebas yang didakwa membawa kisah tidak diperakui kesahihan dalam agama.
Antaranya adalah, dia mendakwa Rasulullah pernah melamar seorang wanita, Ummu Hani sebanyak tiga kali dan wanita berkenaan merupakan ‘cinta pertama’ baginda.
Penceramah sama kemudian membuat dakwaan yang diragui mengenai kelebihan memandang wajah ulama yang didakwa berasal dari hadis palsu dalam rancangan Salam Baitullah di RTM yang menyebabkan dia ‘direhatkan’.
Terbaharu, dalam slot soal jawab agama ‘Don Give U’ di stesen radio Suria FM, pendakwa tu mendakwa seseorang Muslim dibolehkan berpuasa pada hari raya kedua, ketiga dan keempat pada Aidiladha.
Susulan itu Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) Rozaimi Ramle menegur pendakwah itu dan menegaskan adalah menjadi asas dalam feqah bahawa hari-hari tersebut termasuk hari diharamkan berpuasa.
BACA LAGI: Stesen penyiar diseru rujuk agensi agama sebelum undang penceramah bebas
Sementara itu, Zamri menasihati golongan pendakwah agar sentiasa rajin membuat rujukan sebelum membuat perkongsian dalam program yang terdapat di media massa.
Pendakwah juga tegasnya harus memastikan pandangan ulama yang dinukilkan adalah pandangan yang muktabar bukannya ganjil.