KPKT akan pastikan tiada kenaikan harga rumah mampu milik
Kerajaan akan memastikan harga kediaman mampu milik tidak dinaikkan susulan langkah kerajaan melaksana penyasaran subsidi diesel.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Aiman Athirah Sabu, berkata kediaman jenis itu tertakluk di bawah Dasar Perumahan Mampu Milik (DRMM) dan dikawal kementerian.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus memantau, termasuk rumah mampu milik dibina di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara yang juga dikawal di bawah KPKT,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Sepang itu menegaskan semua kediaman mampu milik dibawah Projek Perumahan Rakyat (PPR), Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) dijual dibawah harga RM300,000 dan kementeriannya akan berusaha memastikan ia terus dipatuhi.
Mengulas mengenai kenaikan harga rumah, beliau berkata ia bukannya projek perumahan di bawah kawalan KPKT yang bergantung kepada penawaran dan pembelian sebaliknya kediaman dibina pemaju secara terbuka.
“Bagi rumah yang pembinaannya sudah diluluskan, ia terikat dengan perjanjian jual beli dan tidak boleh diubah. Sekiranya ada kenaikan harga rumah mampu milik, pemaju perlu kemukakan permohonan kepada kerajaan dan setakat ini memang kita kawal harga rumah terbabit,” tambahnya.
BACA LAGi: SPNB sumbangkan rumah kepada balu bekas pemain bola sepak Kelantan
Aiman Athira sebelumnya hadir ke Majlis Korban Sentuhan Kasih Parlimen Sepang dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta KPKT, di Cyberjaya pada Khamis.
Sebanyak 33 lembu dikorbankan pada program itu untuk diagihkan kepada asnaf di kawasan Sepang dan golongan memerlukan dengan 13 darinya adalah sumbangan Pejabat Khidmat Masyarakat Parlimen diwakilinya.