Semasa

Program Dwibahasa: tiada sekolah dikecualikan dari ikut garis panduan – Menteri Pendidikan

Pelaksanaan dan garis panduan untuk Program Dwibahasa (DLP) terpakai untuk semua sekolah kerajaan, kata Menteri Pendidikan Menteri Pendidikan.

Fadhlina Sidek pada sidang media selepas menghadiri satu acara di Nibong Tebal pada Khamis menolak dakwaan pihak tertentu yang mendakwa terdapat sekolah diberi kelonggaran untuk tidak mematuhi Garis Panduan DLP.

“Tak betul (dakwaan ada sekolah tertentu dikecualikan ikut garis panduan DLP), semua (sekolah) kita sudah tegaskan kena pakai dan rujuk kita punya garis panduan yang ia tidak ada masalah .

“Setakat ini, sekolah-sekolah yang ada masalah dengan pelaksanaan garis panduan DLP, kita akan turun dan bantu sekolah terbabit untuk melaksanakan garis panduan berkenaan,” katanya.

Fadhlina sebelumnya hadir ke Majlis Peluncuran Program Sekolah Pengajar dan MBMMBI.

Mengulas lanjut beliau turut menegaskan, semua sekolah kerajaan perlu mempunyai satu kelas mengajar mata pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu, seiring dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

BACA LAGI: Dasar MBMMBI martabatkan Bahasa Melayu, manfaatkan potensi Bahasa Inggeris

KPM juga jelasnya komited untuk memastikan peningkatan dan kecekapan berbahasa menerusi dasar MBMMBI, antaranya menubuhkan Pasukan Khas Reformasi Pendidikan dengan memperkenalkan Sahabat Bahasa untuk membudayakan dan menyemarakkan pelaksanaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris secara komprehensif.

“Inisiatif ini dilaksanakan di bahagian KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan institusi pendidikan terdiri sekolah IPG, Kolej Matrikulasi dan Kolej Vokasional,” tambah beliau.

Related Articles

Back to top button