Global

Arab Saudi pendekkan tempoh khutbah Jumaat bagi memastikan kesihatan, keselesaan jemaah

Kepimpinan Tertinggi Arab Saudi telah mengeluarkan arahan untuk memendekkan tempoh khutbah Jumaat dan solat di dua masjid suci kepada 15 minit bermula 21 Jun hingga akhir musim panas ini.

Arahan itu juga termasuk menjadikan tempoh masa antara azan pertama dan azan kedua 10 minit dengan melambatkan waktu azan pertama.

Perkara itu diumumkan Presiden Hal Ehwal Agama Masjidil Haram dan Masjdi Nabawi, Sheikh Abdulrahman bin Abdulaziz Al-Sudais.

Sheikh Al-Sudais menghargai pengeluaran arahan diraja itu dengan mengatakan ia mencerminkan kesungguhan Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman dan Putera Mahkota serta Perdana Menteri Mohammed bin Salman dalam memastikan kesihatan, keselesaan dan keselamatan tetamu Allah.

“Ini juga menunjukkan keprihatinan pimpinan untuk memudahkan pelaksanaan ibadah Jumaat dengan lebih mudah serta mencegah kemudaratan jemaah haji dan jemaah yang menunaikan solat Jumaat di Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah.

“Isyarat diraja ini merupakan prinsip asas Arab Saudi yang memberi keutamaan kepada keselamatan dan perlindungan jemaah.

“Oleh itu, keputusan untuk memendekkan dua khutbah Jumaat di Dua Masjidil Haram menjadi 10 minit berbanding 30 hingga 45 minit untuk meringankan beban jemaah berikutan suhu yang meningkat di kedua-dua masjid itu dan kota-kota suci,” katanya seperti dilaporkan Saudi Gazzate, pada Sabtu.

Related Articles

Back to top button