KBS lancar program Senaman Warga Emas 2024, libat 50 lokasi di seluruh negara
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyempurnakan pelancaran program Senaman Warga Emas 2024 di Taman Rakyat, Taman Sri Andalas Klang, Selangor pada Sabtu.
Menurut Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi satu kenyataan, program itu diadakan menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) susulan daripada dapatan Sesi Perbincangan Meja Bulat (RTD) Berkaitan Pembudayaan Sukan dalam Kalangan Warga Emas yang telah diadakan pada 8 Februari lalu.
“Program ini juga dianjurkan dengan hasrat membudayakan sukan dan amalan gaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat khususnya golongan warga emas yang berumur 60 tahun dan ke atas.
“Program rintis ini melibatkan sebanyak 50 lokasi di seluruh negara dan dijalankan secara percuma pada hujung minggu bermula bulan Mei hingga November 2024,” menurut kenyataan itu.
Tambahnya lagi, pelaksanaan fasa dua pula dijadulakan bermula pada bulan Ogos 2024 yang melibatkan 70 lokasi di seluruh negara.
“Penganjuran program ini juga akan menyumbang kepada pemerkasaan pembangunan sukan untuk semua seiring dengan kerangka Malaysia MADANI dan Visi Sukan Negara 2030 (VSN 2030),” katanya.