Pilihanraya

Satu lawan satu di PRK Sungai Bakap

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

PH mempertaruhkan bekas Pengarah Institut Aminudin Baki Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin, 60, manakala PN yang perlu mempertahankan kemenangan diwakili Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, Abidin Ismail, 56.

Kedua-dua calon telah menyerahkan borang pencalonan mereka di pusat penamaan calon di Dewan Berlian Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Sesi penyerahan borang penamaan calon tamat pada 10 pagi diumumkan Pegawai Pengurus Bahagian PRK DUN Sungai Bakap, Khairulnizam Hashim.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi, manakala pengundian awal pada 2 Julai.

Kerusi DUN Sungai Bakap mempunyai 39,279 pemilih terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

Related Articles

Back to top button