Lebih 1,300 jemaah haji meninggal dunia tahun ini
Lebih 1,300 jemaah haji meninggal dunia ketika mengerjakan ibadah itu tahun ini.
Pemerintah Arab Saudi pada Ahad memaklumkan, kebanyakan kes kematian adalah akibat suhu panas melampau dan perjalanan “tidak dibenarkan” menyumbang lebih empat daripada lima kematian.
Kerajaan Arab Saudi dalam satu kenyataan dikeluarkan berkata, pasukan kesihatan menangani banyak kes suhu panas melampau tahun ini, dengan beberapa individu masih dalam penjagaan, namun malangnya jumlah kematian mencecah 1,301.
Kenyataan yang juga angka rasmi pertamanya itu berkata, 83 peratus daripada mereka yang meninggal dunia tidak dibenarkan menunaikan haji dan berjalan jauh di bawah cahaya matahari secara langsung, tanpa tempat tinggal atau keselesaan mencukupi.
Golongan warga tua dan pesakit kronik antara kalangan mangsa yang meninggal dunia.
Cuaca panas melampau disebut sebagai faktor utama di sebalik ratusan kematian dan kecederaan yang dilaporkan tahun ini semasa menunaikan haji.
Mekah, kota suci yang menjadi pusat bagi jemaah haji, menyaksikan suhu meningkat kepada 51.8 darjah selsius yang mencatat rekod pada Isnin 17 Jun.
Pelbagai pihak berkuasa juga berkata masalah itu ditambah lagi dengan jumlah ziarah tidak rasmi.
Arab Saudi mewajibkan setiap jemaah haji memperoleh permit khas untuk mengakses Mekah secara sah dengan kos beberapa ribu dolar AS.
Jemaah haji yang tidak berlesen biasanya tidak melakukan perjalanan dalam bas pelancongan yang teratur dengan penghawa dingin atau akses mudah kepada bekalan air dan makanan.
Kerajaan Saudi turut menyenaraikan kemasukan secara tidak sah jemaah menjadi faktor kenapa masa terlalu lama diambil untuk mengeluarkan angka kematian rasmi kerana ini telah merumitkan proses pengecaman.