Semasa

NRES lancar EkoSetiawangsa sebagai daerah lestari

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melancarkan EkoSetiawangsa sebagai inisiatif menjadikan Setiawangsa sebuah daerah lestari yang mengamalkan gaya hidup hijau.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pelaksanaan berkenaan bakal menjadikan Setiawangsa kawasan neutral karbon dan inklusif untuk dinikmati penduduk.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengiktiraf Wangsa Maju sebagai kawasan rendah karbon melalui Pusat Pertumbuhan Neutral Karbon (PPNK) 2050 dan 60 peratus daripadanya termasuk dalam Parlimen Setiawangsa.

“Daerah lestari yang dilancarkan, bertindak sebagai peneraju gaya hidup lestari yang bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa ada pelbagai pilihan untuk menjalani gaya hidup hijau,” katanya.

Nik Nazmi sebelumnya berucap di Majlis Perasmian Karnival Alam Kita, di Taman Tasik Titiwangsa pada Ahad.

Turut hadir, Ketua Setiausaha NRES, Datuk Ching Thoo Kim; Timbalan Ketua Setiausaha (Kelestarian Alam), Datuk Nor Yahati Awang; Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli), Norsham Abdul Latip; serta ketua-ketua dan agensi di bawah NRES.

BACA LAGI: NRES pertimbang undang-undang khusus tangani pembuangan, pencemaran plastik

Mengulas lanjut, untuk menjayakan EkoSetiawangsa itu, Nik Nazmi berkata, pihaknya menerima kolaborasi daripada beberapa syarikat.

“Bagi memastikan inisiatif EkoSetiawangsa ini efektif ialah penglibatan secara kolaboratif dan bottom-up daripada pihak berkepentingan terutamanya penduduk setempat, entiti komersil, agensi kerajaan, persatuan dan NGO.

“Ia tidak akan berhasil tanpa kerjasama pihak kerajaan pusat dan agensi yang terlibat termasuk DBKL, Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), URBANICE Malaysia, Yayasan Hijau Malaysia serta Pejabat Parlimen Setiawangsa,” katanya yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa.

Related Articles

Back to top button