Pindaan berkaitan kepentingan Orang Asli bakal dibentang ke Parlimen penggal ini
Kerajaan bakal membentangkan Pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan kepentingan masyarakat Orang Asli selewat-lewatnya pada 2027.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat Ramli Mohd Nor menurut laporan Bernama berkata, proses libat urus bersama masyarakat Orang Asli dan NGO sedang giat dijalankan setakat ini dan telah membuahkan maklum balas positif.
“Libat urus pindaan Perlembagaan berhubung kepentingan masyarakat Orang Asli setakat ini dijalankan di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang Barat, Perak dan Kedah.
“Selepas selesai semua libat urus, perkara ini akan dibawa kepada perdana menteri dan seterusnya, paling lewat (dibentangkan di Parlimen) sebelum penggal ke-15 ini tamat,” katanya.
Ramli sebelumnya menghadiri Perhimpunan Perdana Batin dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) serta Penyerahan Inisiatif Geran JPKKOA Negeri Sembilan di Seremban hari ini.
Sementara itu beliau menjelaskan, pindaan Perlembagaan yang bakal dibentangkan itu akan melibatkan dua perkara.
BACA LAGI: Kewujudan sekolah model khas berjaya tangani isu keciciran pelajar Orang Asli
“Dalam pindaan ini dicadangkan tanggungjawab menjaga Orang Asli diletakkan dalam jadual bersama, iaitu kerajaan pusat dan kerajaan negeri kena jaga, sebab banyak isu seperti tanah, perhutanan dan kebajikan.
“Kita juga lihat Perkara 153, iaitu kepentingan masyarakat dan bumiputera Sabah dan Sarawak namun tidak dimasukkan Orang Asli, jadi saya cadangkan untuk pindaan ini,” katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Cameron Highlands.