Pilihanraya

PRK Sungai Bakap: Joohari Ariffin kerja kuat menangi hati pengundi

Calon mewakili kerajaan pada Pilihan Raya Kecil Sungai Bakap optimis merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu yang kini disandang PAS

Dr Joohari Ariffin berkata, kerusi Sungai Bakap sebelum ini dimenangani Pakatan Harapan (PH) selama tiga penggal sejak 2008 sebelum bertukar tangan kepada PAS pada 2023 yang berkemungkinan disebabkan isu, sentimen, dan persepsi pengundi.

Justeru menurutnya, beliau akan terus mendekati pengundi sekali gus bekerja kuat memutihkan sokongan di kawasan ‘kelabu’ itu.

“Ia tidak mustahil kerana majoriti 1,563 (undi) satu jumlah yang dikatakan kelabu menurut penganalisis politik, bukan putih dan bukan hitam, jadi kita akan pastikan yang kelabu itu kita akan putihkan,” kata anak jati Sungai Bakap itu pada sesi Ramah Mesra Bersama Media di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi).

Joohari dicabar Timbalan Ketua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail sebagai calon Perikatan Nasional (PN), dalam pertembungan satu lawan satu pada PRK DUN Sungai Bakap, 6 Julai.

Kerusi Sungai Bakap yang mempunyai 39,279 pemilih terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis, kosong berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

BACA LAGI: Semua parti dalam kerajaan perlu pastikan kemenangan Dr Joohari Ariffin

Sementara itu Joohari yang merupakan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara itu berkata, beliau mahu menggunakan pendekatan melalui penyampaian ilmu dalam program kempen yang diadakan.

Pemegang ijazah kedoktoran (PhD) dalam pengurusan dan kepimpinan pendidikan dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu juga berharap, agar PRK Sungai Bakap dijadikan model atau penanda aras bagi PRK akan datang dengan mengetengahkan kempen berakhlak dan lebih bernilai tinggi.

Related Articles

Back to top button