Parlimen

Wan Saiful bakal dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan bakal dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen susulan kenyataan bahawa kes mahkamahnya boleh dimanipulasi untuk dibatalkan atau digugurkan.

Usul merujuk pemimpin Bersatu itu ke jawatankuasa berkenaan diluluskan melalui undian blok disokong majoriti Ahli Parlimen kerajaan manakala wakil rakyat blok pembangkang bertindak keluar dewan sebagai tanda protes, hari ini.

Sebelum keputusan tersebut dibuat, situasi kecoh bermula apabila Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) selaku Ketua Whip Bersatu bangkit mempersoalkan keputusan Speaker, Tan Sri Johari Abdul membenarkan usul terbabit dibawa dengan menyifatkan ia sebagai subjudis.

Meskipun beberapa Ahli Parlimen turut bangkit mempersoalkan isu sama, Johari tetap memanggil Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said untuk membacakan usul terbabit yang kemudian disokong Timbalannya M. Kulasegaran.

“Perbuatan ini telah menunjukkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor telah menyebut perkara yang sedang dalam timbangan mahkamah dan boleh dianggap merosakkan kepentingan pihak-pihak yang berbicara dalam kes tersebut,” jelas Azalina.

Susulan itu, Wan Saiful perlu dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk menentukan sama ada kenyatannya mengelirukan dan membuat syor untuk pertimbangan dewan.

Related Articles

Back to top button