Semasa

KDN tidak kompromi terhadap individu terlibat ekstremisme, radikalisme

Tiada sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang menjadi penghasut, pelaku, penyokong dan pemberi simpati buat elemen ekstremisme, radikalisme dan keganasan di negara ini, tegas Menteri Dalam Negeri.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang akhbar khas di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya pada Isnin berkata, pihak berkuasa juga akan mengambil tindakan penguatkuasaan paling berat ke atas golongan terbabit.

“Kerajaan memberi jaminan bahawa masyarakat umum tidak perlu berasa gusar terhadap tahap keselamatan dan ketenteraman awam di Malaysia.

“Kecekapan dan ketangkasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangkis ancaman ekstremisme, radikalisme dan keganasan di peringkat awal menjadi manifestasi kesiapsiagaan dan kompetensi pasukan dalam mendepani sebarang ancaman pada setiap masa.

“Orang ramai, aktivis masyarakat, organisasi serta badan bukan kerajaan, pihak swasta dan semua pihak juga digesa untuk berkerjasama menggembeleng usaha bagi bersama-sama menangani ancaman ini daripada menggugat perpaduan dan keamanan negara,” katanya

Turut serta pada sidang akhbar itu ialah Ketua Polis Negara, Tan Sei Razarudin Husain dan Timbalan Pengarah Cawangan Khas II Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Abdul Majid.

BACA LAGI: Tiada gerakan beri kewarganegaraan secara ‘borong’, Menteri bidas pihak cuba bawa naratif jahat

Media pada Isnin melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan lapan individu termasuk dua wanita dipercayai terlibat militan Daesh dan Islamic State (IS).

Mereka ditahan dalam operasi secara serentak pada 22 dan 23 Jun lalu.di empat negeri iaitu Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Kelantan mengikut Bab VIA – Kesalahan-Kesalahan Berkaitan Keganasan, Kanun Keseksaan [Akta 574] dan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Sementara itu, Saifuddin turut menggesa rakyat negara ini supaya terus prihatin dan peka terhadap ancaman bentuk baharu menerusi teknologi moden ketika ini terutama di media sosial yang dilihat menjadi medium untuk menyebarkan fahaman keganasan.

Related Articles

Back to top button