Kerajaan akan buat penjelasan kepada rakyat terkait isu penjualan pegangan MAHB dalam masa terdekat
Kerajaan akan membuat penjelasan kepada rakyat berhubung isu rancangan penjualan pegangan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) dalam masa terdekat, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Menurutnya ini selepas ahli-ahli parlimen Kerajaan Perpaduan diberikan penjelasan yang terperinci mengenai perkara tersebut.
“Isu BlackRock sehari dua lagi akan dibuat penjelasan, ahli-ahli parlimen Kerajaan Perpaduan telah diberi penjelasan yang ‘detail’ (terperinci) semalam (kelmarin) di Sri Perdana, dan kami fahamlah tentang isu itu.
“Saya akan memastikan ia akan disampaikan kepada khalayak tentang penjelasan itu,” katanya kepada media selepas berceramah di Kampung Makau Suah, Nibong Tebal, pada Isnin.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata demikian ketika ditanya mengenai percanggahan kenyataan dan pendapat di kalangan pimpinan Umno berhubung isu berkenaan.
Global Infrastructure Partners (GIP) adalah syarikat yang dalam proses diambil alih oleh Blackrock, iaitu syarikat Amerika Syarikat yang mempunyai pertalian rapat dengan Israel selain melabur dalam syarikat yang membekal senjata kepada regim Zionis.