Semasa

Penyasaran semula subsidi diesel beri impak

Program Penyasaran Semula Subsidi Diesel yang melibatkan langkah penetapan harga runcit diesel mengikut harga pasaran telah memberi impak amat memberangsangkan dan berlangsung seperti dirancangkan.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata perkara ini berikutan trend peningkatan jualan diesel komersial yang menggambarkan tanda positif bahawa ketirisan diesel bersubsidi, telah berkurang.

“Untuk makluman semua, susulan pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel, berdasarkan rekod jumlah jualan runcit diesel di stesen minyak telah menurun hampir lapan juta liter sehari atau 30 peratus untuk minggu pertama selepas pengumuman penetapan semula harga diesel, berbanding minggu sebelum pengumuman.

“Bagi tempoh yang sama, jualan diesel komersial pula meningkat sebanyak empat juta liter sehari, yang memberi isyarat bahawa sebahagian penggunaan diesel runcit bersubsidi selama ini, telah digunakan oleh sektor industri yang sepatutnya membeli diesel pada harga pasaran,” katanya

Amir Hamzah berkata begitu di Dewan Rakyat pada Isnin melalui sesi Penerangan Menteri mengenai Pelaksanaan Penyasaran Semula Subsidi Diesel .

Sementara itu tambahnya, daripada maklumat yang diterima daripada sebuah syarikat minyak, jualan diesel di sempadan menunjukkan penurunan 40 peratus.

BACA LAGI: Pelaksanaan subsidi bersasar langkah besar selamatkan ekonomi negara

“Ini mengesahkan bahawa sebelum ini memang wujud aktiviti penyeludupan diesel ke negara sempadan kita,” katanya.

Justeru tambahnya, badan penguat kuasa akan terus giat bekerjasama dan mengatur gerak pelbagai operasi bagi membendung aktiviti penyeludupan membendung sebarang unsur yang menjejaskan kestabilan bekalan barangan dan perkhidmatan serta mengekang elemen pencatutan harga di pasaran.

Related Articles

Back to top button