Parlimen

PM Anwar nafi dakwaan MAHB dijual kepada pihak asing

Kerajaan menegaskan bahawa Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) tidak pernah dijual kepada pihak asing dan ia masih terus kekal menjadi milik Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dakwaan kononnya MAHB dijual menerusi pemilikan syarikat asing adalah sama sekali tidak berbangkit, malah pegangan saham majoriti MAHB dikuasai Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu sebanyak 70 peratus, meningkat berbanding 40 peratus sebelumnya.

“Adakah kita ada penjualan membabitkan lapangan terbang? Tidak. Eksesais ini hanya melibatkan pengurusan. MAHB itu syarikat yang menguruskan lapangan terbang.

“Lapangan terbang kekal milik Kerajaan Malaysia. Ini sama seperti MAHB diberi izin oleh Kerajaan Turkiye menguruskan Istanbul Sabiha Gokcen International Airport. Kita diberi hak mengurus tapi milik kekal kerajaan Turkiye.

“Jadi, berbeza kita menjual hak Malaysia kepada Zionis Israel. Ini kritikan baik tetapi biarlah berdasarkan fakta,” katanya sewaktu menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Mohd Shahar meminta Perdana Menteri menyatakan penjelasan terhadap keputusan konsortium syarikat pelaburan berkaitan kerajaan terhadap penjualan saham MAHB itu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, jawatan pengurusan utama iaitu Pengerusi MAHB dan Ketua Pegawai Eksekutif MAHB juga masih diterajui rakyat Malaysia.

Mengulas soalan tambahan Mohd Shahar mengenai isu keselamatan, Anwar menegaskan, isu berkenaan tidak berbangkit kerana ia masih lagi milik kerajaan.

“Faktor keselamatan tidak berbangkit kerana masih milik kerajaan. Keselamatan tanggungjawab kerajaan. Pengerusi syarikat dan CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) masih rakyat Malaysia,” katanya.

Related Articles

Back to top button