Parlimen

RUU Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (Pindaan) 2024 dibentang di Parlimen

Kerajaan Perpaduan pada Isnin membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) (Pindaan) 2024 bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah ketika membentangkan RUU bagi meminda Akta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia 2017 (Akta 788) itu berkata, ia antara lain untuk memindahkan segala fungsi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) kepada CAAM.

Menurut naskah biru yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, rang undang-undang itu dipinda untuk memindahkan segala fungsi MAVCOM berhubung pengawalseliaan hal ehwal ekonomi dan komersial berkaitan dengan industri penerbangan awam di negara ini kepada CAAM disebabkan oleh pembubaran MAVCOM.

Dengan pindaan ini, CAAM menjadi badan kawal selia tunggal berkaitan dengan industri penerbangan awam di Malaysia.

Terdahulu, Hasbi turut membentangkan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) (Pembubaran) 2024 bagi bacaan kali pertama yang bertujuan untuk memansuhkan Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771) sekaligus membubarkan suruhanjaya yang ditubuhkan di bawah akta berkenaan.

Ia juga bertujuan bagi mengadakan peruntukan bagi peletakhakan hartanya kepada CAAM yang ditubuhkan di bawah Akta 788 dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berkaitan.

“Rang undang-undang itu juga bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi penurunan kuasa, hak, kewajipan, liabiliti dan obligasi MAVCOM kepada CAAM.

“Selain itu, rang undang-undang itu juga bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi pemindahan semua perjanjian, surat ikatan, dokumen dan surat cara lain yang sedia ada daripada MAVCOM kepada CAAM,” menurut naskah biru Parlimen.

Selain itu, pindaan turut akan melibatkan Seksyen 16(1) Akta 788 untuk memasukkan fungsi baharu berkaitan perkara ekonomi antara lain termasuklah memperbaiki perhubungan di peringkat global dan tempatan supaya dapat menggalakkan pertalian ekonomi, integrasi dan pertumbuhan, perdagangan, pelaburan serta pelancongan.

Pindaan itu bertujuan bagi menggalakkan persaingan yang berkesan dalam industri penerbangan awam dengan menggalakkan suatu persekitaran ekonomi yang membenarkan syarikat penerbangan Malaysia mengekalkan keupayaan untuk bersaing dengan berkesan dalam pasaran penerbangan awam melalui cara yang menguntungkan, cekap dan adil yang mampan.

BACA LAGI: Pindaan berkaitan kepentingan Orang Asli bakal dibentang ke Parlimen penggal ini

Selain itu, ia juga bertujuan untuk menggalakkan pengendalian aerodrom dan perkhidmatan pengendalian darat yang cekap, ekonomi dan menguntungkan serta menggalakkan pelaburan yang tepat pada waktunya dalam industri penerbangan awam bagi memenuhi permintaan dan keperluan pembangunan Malaysia.

Menurut Hasbi bacaan kali kedua dan ketiga rang undang-undang berkaitan pindaan itu dijangka dibentang pada mesyuarat yang sama

Related Articles

Back to top button