Semasa

Subsidi Diesel: Jangan guna taktik salahkan kerajaan untuk naikkan harga

Kementerian Pengangkutan (MOT) mengingatkan lebih 180,000 kenderaan pengangkutan barangan yang belum mendaftar dibawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 supaya segera mendaftar.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan sudah memberi ruang mencukupi untuk syarikat kenderaan pengangkutan barangan mendaftarkan diri di bawah SKDS 2.0 bagi membolehkan mereka terus menikmati harga subsidi diesel ditawarkan.

“Kalau tidak (mendaftar) mereka akan salahkan kerajaan pula, kata tak bagi subsidi menyebabkan mereka naikkan harga barang disebabkan kenaikan harga diesel.

“Ini tanggungjawab mereka juga untuk tampil ke depan dan daftarkan diri dalam SKDS 2.0 dimana harga diesel tidak berubah (RM2.15 seliter),” katanya pada sidang akhbar di Sepang pada Isnin.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh baru-baru ini mendedahkan 180,000 kenderaan barangan masih belum memohon mendapatkan Fleet Card dibawah SKDS 2.0.

Mengikut rekod jelasnya, terdapat 389,000 kenderaan barangan berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), namun setakat ini hanya 209,000 memohon subsidi.

BACA LAGI: KPDN tawar kelulusan serta merta bagi permohonan SKDS yang layak

Sebagai rekod, KPDN menawarkan kelulusan serta merta bagi permohonan lengkap Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Syarikat yang layak hanya perlu mengisi maklumat terhad dan pengesahan akan dibuat segera melalui integrasi dengan sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Related Articles

Back to top button