Dewan Rakyat lulus RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2024
Dewan Rakyat pada Selasa meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2024 yang bertujuan menambah baik liputan keselamatan sosial kepada golongan pekerja.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor mengumumkan kelulusan RUU itu selepas sesi penggulungan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.
RUU itu pertama kali dibentangkan pada Mac lalu itu dibahaskan 21 ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dan diluluskan dengan suara majoriti ahli Dewan Rakyat.
Sim ketika membentangkan RUU itu berkata, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyediakan pelbagai faedah bagi melindungi pekerja yang ditimpa kemalangan bencana kerja, merangkumi faedah hilang upaya sementara, faedah orang tanggungan, faedah pendidikan dan kemudahan pemulihan.
“Ketika ini had umur 60 tahun di bawah skim keilatan dikekalkan dengan mengambil kira keupayaan dan risiko seseorang selepas melebihi umur 60 tahun.
“Jadi 60 tahun ke atas masih bekerja dan ada kemalangan, maka mereka boleh mendapat tuntutan faedah. Tapi skim keilatan, hadnya 60 tahun,” katanya.
BACA LAGI: Malaysia main peranan pimpin usaha perkasa perlindungan sosial
Sementara itu jelasnya, beberapa penguatkuasaan undang-undang turut dilaksanakan menerusi pindaan kali ini bagi memastikan majikan mencarum.
Pihaknya turut menggunakan kaedah ‘smart detection’ iaitu melaksanakan aktiviti pengesanan ke atas majikan dengan kerjasama agensi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta operasi bersepadu antara agensi dan jabatan di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).