Ideologi ekstrem ancam ketenteraman awam, wajar dipatahkan- Menteri KDN
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan kumpulan pengganas Daesh meletakkan pasukan polis sebagai sasaran utama serangan.
Pada satu sidang media di Maktab PDRM, Cheras pada Selasa, Saifuddin berkata, Daesh berdiri teguh dengan ideologi yang ekstrem demi menuntut pemerintahan berprinsipkan khalifah.
“Dalam kefahaman mudah, kepercayaan Daesh menganggap bahawa di dalam pemerintahan kerajaan itu jika tidak tertegak pemerintahan khalifah mewajarkan mereka membuat penentangan.
“Dalam siri penentangan, mereka itu meletakkan polis sasaran nombor satu untuk mengalahkan kerajaan yang tidak memegang prinsip khalifah. Maka urutan itu dimulai pihak polis, itu ideologinya,” katanya.
Saifuddin sementara itu menegaskan, ideologi kumpulan tersebut wajar ditentang kerana akan mengancam ketenteraman awam dan kemungkinan menyasarkan orang kenamaan.
Justeru ia juga menjadi satu cabaran utama dihadapi pasukan polis mengesan pelbagai bentuk ideologi yang disebarkan kepada pengikut Daesh.
“Bila disebut ideologi bukan nampak seperti melihat air mengalir, ia tersebar pelbagai cara,” katanya.
Pada Selasa media melaporkan, lapan warga tempatan ditahan kerana dipercayai terbabit dengan ideologi kumpulan pengganas Daesh dalam satu operasi serentak di empat negeri pada Sabtu dan Ahad lalu.
BACA LAGI: Kegiatan ekstremis agama, kumpulan ajaran sesat sentiasa dalam radar pemantauan PDRM
Tangkapan membabitkan enam lelaki dan dua wanita berusia antara 25 hingga 70 tahun dibuat di Kelantan, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.
Saifuddin memaklumkan, proses siasatan awal dapati kumpulan ini menyasarkan orang-orang kenamaan pegawai tertinggi polis.