Parlimen

Kerajaan kekal dasar UiTM untuk Melayu, Bumiputera – Menteri

Kerajaan akan mengekalkan dasar Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk pelajar Melayu, Orang Asli dan anak negeri Sabah serta Sarawak bagi merapatkan jurang antara kaum terutamanya membabitkan aspek sosio ekonomi.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menekankan bahawa dasar itu perlu dikekalkan bagi merealisasikan hasrat kerajaan.

Katanya, Laporan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 oleh Kementerian Ekonomi menunjukkan masih wujud jurang ekonomi membabitkan Bumiputera dari segi purata pegangan bulanan, pegangan ekuiti korporat, kadar kemiskinan dan pengeluaran tenaga kerja mahir.

“Malah, kadar miskin mutlak dalam kalangan Bumiputera masih memerlukan usaha secara berterusan untuk diperbaiki.

“Dengan tertubuhnya UiTM, lebih ramai anak Bumiputera memperoleh peluang menyambung pengajian dan dilatih untuk mengisi pelbagai jenis jawatan sebagai keperluan meningkatkan kualiti hidup dan mengubah nasib mereka,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan bercadang membenarkan bukan Bumiputera menuntut di UiTM dengan meminda Akta UiTM 1976 dan jika tidak dibenarkan, minta dinyatakan alasannya.

Related Articles

Back to top button