Perlu anjakan besar, Malaysia berpotensi jadi bandar tidak berorientasikan kereta – Nik Nazmi
Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad optimis Malaysia berpotensi keluar dari konsep bandar yang beorientasikan kereta atau ‘çar-centric infrastructure’ kepada bandar yang tidak berorientasikan kereta.
Katanya, kerajaan berusaha menerapkan konsep Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) dengan mewujudkan akses yang lebih mudah bagi pengguna pengangkutan awam.
Usaha itu, jelasnya sedang giat diatasi oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mewujudkan ketersambungan yang lebih baik antara lokasi awal pengguna ke destinasi yang dituju.
“Kalau kita tengok di London umpamanya, Datuk Bandar Sadiq Khan banyak beri penekanan kepada zon pelepasan emisi rendah atau Ultra Low Emission Zone (ULEZ) dan corak pembangunan bandar itu berubah.
“Begitu juga di Seoul, Korea Selatan, banyak jalan raya yang diubah menjadi taman-taman yang membolehkan warga kota berjalan.
“Jadi Malaysia juga boleh berubah, cuma memerlukan satu anjakan besar dengan campur tangan dasar daripada pihak berkuasa,” jelasnya ketika menjadi tetamu dalam satu program siaran AWANI pada Selasa.
BACA LAGI: NRES sasar 25 program Rumah Ibadat Hijau (RIH) setiap tahun
Sementara itu tambahnya, sekiranya kesedaran mengenai usaha itu dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat, Malaysia mampu mencapai perubahan dalam membangunkan kawasan-kawasan melalui amalan lestari hijau.
Tambahnya, dengan kewujudan kawasan-kawasan tersebut juga, ia mampu meminimumkan kesan pulau haba bandar (urban heat island effect) yang mampu menapis pencemaran serta memelihara sumber air.