ekonomi

PM Anwar optimis Malaysia mampu jadi negara kuasa ekonomi rantau Asia

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin Malaysia memiliki potensi luas untuk muncul sebagai negara kuasa ekonomi di rantau Asia.

Pada ucapan di majlis makan tengah hari mesyuarat agung ke-47 Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AMCHAM) di Kuala Lumpur pada Selasa beliau menegaskan, Malaysia perlu kekal sebagai negara perdagangan dan terbuka kepada pelaburan.

“Kami menyatakan dengan sangat jelas kerajaan akan menyokong pelaburan dari luar negara, terutama dari Amerika Syarikat (AS),” katanya yang juga Menteri Kewangan.

Mengulas lanjut Anwar berkata pentadbirannya kini sedang menangani isu kesediaan bagi melaksanakan langkah yang perlu untuk memastikan Malaysia kekal berdaya saing dan terus berkembang.

Malaysia jelasnya mempunyai tenaga kerja, infrastruktur dan ekosistem semikonduktor bagi menyokong pelaburan selain usaha kerajaan mempercepat isu peralihan tenaga, di Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak.

Beliau turut merujuk Pulau Pinang yang disifatkan contoh terbaik mengenai pelaburan daripada pelabur asing yang telah banyak memberi manfaat kepada ekonomi negara ini.

“Kelebihan itu dapat dilihat melalui pemindahan teknologi, latihan dan penubuhan pusat kecemerlangan.

“Dari peringkat awal lagi…Intel Corporation contohnya, menggunakan Pulau Pinang sebagai pangkalan mereka dan kini, Pulau Pinang telah muncul sebagai antara pusat utama bagi semikonduktor di negara ini, bagi proses bahagian belakang dan bahagian depan.

BACA LAGI: Sarawak bangkit jadi gergasi ekonomi baharu negara 

“Oleh itu, (saya) di sini mengakuinya secara peribadi dan terima kasih atas keyakinan anda dan (kami akan) memberikan semua sokongan dan bantuan yang diperlukan untuk memudahkan (dan) kami akan mempercepat (proses pelaburan),” tambah beliau.

AMCHAM telah ditubuhkan pada tahun 1978 sebagai persatuan perniagaan antarabangsa yang bukan berasaskan keuntungan, dan terdiri daripada lebih 1,500 ahli mewakili hampir 300 syarikat dan korporat Amerika di Malaysia.

Related Articles

Back to top button