PRK Sungai Bakap: Pilih pemimpin berkualiti untuk ke arah lebih baik
Pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, diseru memilih calon yang berpengetahuan dan berwatak supaya dapat menyumbang kepada kestabilan pembangunan di kawasan itu, kata Ketua Wanita KEADILAN, Fadhlina Sidek.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, masyarakat memerlukan pemimpin berkualiti yang dapat memimpin DUN Sungai Bakap ke arah lebih baik dari aspek pembangunan infrastruktur, ekonomi, sosial, agama, perpaduan dan pendidikan.
“Kepada semua pengundi Sungai Bakap, calon Perpaduan ini (Dr Joohari Ariffin) bukan calang-calang. Dia calon yang berotak dan berwatak, wibawanya, santunnya dan juga hemah yang tinggi budi bahasanya.
“Saya sebagai Menteri Pendidikan risau, kalau calon ini terus dipertikaikan kerana kita sedang membina generasi yang benar-benar mengangkat isu pendidikan ini sebagai isu yang sangat penting,” katanya ketika berucap pada ceramah Perpaduan di Taman Jawi Indah pada Selasa.
Fadhlina berkata, tidak ada orang yang lebih memahami pendidikan melainkan Joohari, yang merupakan bekas guru dan anak jati Sungai Bakap yang cukup diyakini bahawa beliau boleh memberikan perkhidmatan yang terbaik, untuk anak-anak Sungai Bakap.
“Wibawanya, santunnya dan juga hemah yang tinggi, budi bahasa ini adalah taruhan utama kita untuk menampilkan calon yang benar-benar mempunyai kredibiliti yang tinggi.
“Banyak isu saya dengar sepanjang kempen ini, tetapi tidak ada isu langsung bagi saya di pihak pembangkang ini yang dapat merobek kredibiliti Dr Joohari kita atau Cikgu Joo kita, tidak ada tuan-tuan dan puan-puan”, katanya.